Pages

Wednesday, July 13, 2011

Malaysia menentang Arsenal

Aksi menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal malam ini menjadi pentas terbaik ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal untuk menguji keampuhan benteng pertahanan Harimau Malaya menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura hujung bulan ini.

Selepas dibolosi empat gol pada pusingan pertama menentang Taiwan, pengendali berusia 55 tahun itu pastinya mahu memulihkan kembali keyakinan barisan pertahanannya dan mencari kombinasi terbaik. Malah kematangan benteng Harimau Malaya pastinya teruji apabila menentang The Gunners yang terkenal dengan corak hantaran pendek, permainan pantas selain aksi lincah menggelecek sehingga ke dalam kotak penalti pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Bagi pemain pertahanan tengah negara, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak perlawanan menentang Arsenal serta Liverpool (Sabtu ini) boleh dianggap sebagai aksi pemanas badan kepada barisan pemain negara. "Ia bakal memberikan kami pengalaman berguna kerana berdepan pemain bertaraf dunia. Keputusan menang atau tewas bukan sesuatu yang perlu dijadikan ukuran kerana ilmu yang ditimba yang penting untuk meningkatkan lagi permainan selepas ini." kata bekas kapten skuad negara itu.

Dia turut mengingatkan rakan sepasukan bahawa fokus utama Harimau Malaya adalah menewaskan Singapura yang bakal menanti mereka pada 23 Julai di Stadium Jalan Besar sebelum melayan kunjungan The Lions di Stadium Nasional beberapa hari kemudian. "Jurulatih (Rajagobal) mungkin mempunyai strateginya yang tersendiri untuk mencuba gandingan. 

Saya sendiri sekiranya diturunkan tidak kisah bergandingan dengan sesiapa saja. Namun sebagai pemain saya akan cuba untuk meningkatkan lagi corak permainan dan fokus sepanjang perlawanan,"katanya.

No comments:

Post a Comment